01 April, 2008

Penyelidik Malaysia Lakukan Kajian Madu Tualang Di Mekah


MEKAH, 13 Dis (Bernama) -- Mampukah madu lebah Tualang meningkatkan daya keimunan jemaah haji daripada serangan penyakit pernafasan? Sesuaikah jemaah haji berjalan kaki dari Mekah ke Arafah untuk berwukuf dengan mengikut tradisi sunnah Rasulullah SAW?
Atau, bolehkah pergerakan jemaah haji dipantau dengan menggunakan Peranti Beridentiti Frekuensi Radio? Dan bolehkah dijimatkan penggunaan tenaga di bangunan penginapan jemaah haji serta bolehkah tenaga solar digunakan untuk sistem penyejukan khemah jemaah haji di Mina?
Itulah antara beberapa persoalan yang akan cuba dianalisis oleh sekumpulan 22 penyelidik Malaysia dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Malaya (UM) yang kini berada di Mekah untuk menjalankan penyelidikan itu.
Ketua pasukan penyelidik berkenaan, Dr Zainal Abidin Sanusi memberitahu Bernama di sini bahawa ini merupakan kali kedua USM menghantar penyelidiknya selepas kali pertama pada tahun lepas dan tahun ini juga merupakan kali pertama Universiti Malaya menghantar empat penyelidik untuk menyertai misi penyelidikan itu.
Dr Zainal Abidin, yang juga Penyelaras Pusat Pakar Serantau Mengenai Pendidikan untuk Pembangunan Mampan, USM, Pulau Pinang berkata kajian yang dilakukan oleh pasukan itu meliputi empat bidang iaitu Perubatan, Mobiliti, Tenaga dan Pemantauan.
Kesemua penyelidikan itu dijalankan dengan kerjasama Universiti Ummul Qura' Mekah (UQU) yang mempunyai Institut Penyelidikan Haji, katanya selepas kumpulan penyelidik itu mengadakan pertemuan dengan Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Salleh Abd Mubin di sini.
Sementara itu, Prof Nor Hayati Othman yang mengetuai kajian mengenai jangkitan saluran pernafasan seperti batuk, selesema, sakit tekak dan demam yang sering dihidapi jemaah haji ketika di Tanah Suci pula berkata pasukannya akan mengkaji keberkesanan madu lebah Tualang dalam meningkatkan tahap keimunan jemaah haji terhadap jangkitan penyakit pernafasan berbanding pengambilan suntikan vaksin influenza.
Dalam taklimatnya pada pertemuan itu, beliau berkata mereka telah memilih tiga kumpulan jemaah haji dengan satu kumpulan diberi makan madu lebah Tualang, satu lagi diberi suntikan vaksin influenza manakala satu kumpulan lain, yang tidak diberi madu lebah ataupun suntikan vaksin, bertindak sebagai kumpulan kawalan.
Prof Nor Hayati, yang juga Dekan Plantar Sains Klinikal, Kampus Kesihatan, USM, Kubang Kerian, Kelantan berkata setiap kumpulan terdiri daripada kira-kira 250 orang jemaah haji yang dipilih daripada kalangan jemaah haji yang telah menghadiri Kursus Perdana Haji di Kota Baharu, Kelantan, sebelum ini.
Beliau berkata pasukannya menggunakan 250kg madu lebah Tualang asli yang dibekalkan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Negeri Kedah untuk kajian itu.
Sekumpulan penyelidik lain pula bercadang untuk mengkaji satu sistem yang dapat menjimatkan penggunaan tenaga antara 10 hingga 20 peratus di bangunan tempat penginapan jemaah haji.
Pasukan itu juga mahu mencuba menggunakan tenaga solar untuk sistem penyejukan di khemah-khemah jemaah haji dan prototaip alat penyejukan menggunakan tenaga solar itu telah dibina dan berfungsi dengan baik serta efisien dan senyap. Kumpulan itu juga bercadang mengkaji bidang tenaga yang diperbaharui di sini.
Satu kajian lain oleh kumpulan penyelidik Malaysia itu mengenai mobiliti melibatkan cadangan mewujudkan model simulasi sistem keluar masuk jemaah haji di Masjidil Haram serta melakukan tawaf dan sa'ie.
Empat penyelidik dari Universiti Malaya itu pula mahu mengkaji cara untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas dan wajar atau tidaknya kembali mengamalkan tradisi sunnah Rasulullah SAW iaitu berjalan kaki dari Mekah ke Arafah sejauh 21.9km untuk melakukan ibadat wukuf.
Kumpulan itu juga bercadang untuk berjalan kaki dari Mekah ke Arafah pada 8 Zulhijjah (17 Disember) ini dan akan mengedarkan 1,500 borang soal selidik dalam pelbagai bahasa termasuk bahasa Arab, Turki, bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris kepada jemaah haji dari seluruh dunia untuk mengkaji kesesuaian sistem laluan pejalan kaki Mekah-Arafah-Muzdalifah-Mina.
-- BERNAMA

No comments: